Saturday, 19 January 2019

13 Persediaan Penyusuan Sejak Hamil


     Jika ibu-ibu berniat mahu menyusukan anak sepenuhnya sejak lahir hingga cukup dua tahun, ibu-ibu mestilah melakukan beberapa persediaan. Persediaan dari segi ilmu, fizikal, dan juga emosi.

Persediaan ilmu

1.       Kelas penyusuan

     Ramai beranggapan penyusuan susu ibu adalah sesuatu yang semulajadi. Hakikatnya, ia perlu dipelajari. Tanpa adanya ilmu yang mencukupi, dikhuatiri anda akan terkandas di pertengahan jalan nanti.
     Jadi, ada baiknya anda menghadiri kelas penyusuan semasa hamil. Anda boleh sertai kelas-kelas penyusuan yang sering diadakan di hospital mahupun klinik. Anda juga boleh sertai kelas berbayar yang dianjurkan oleh kaunselor laktasi.
     Ajaklah suami bersama-sama sertai kelas ini agar dia juga dapat memahami konsep penyusuan susu ibu dan dapat memberi sokongan yang anda perlukan nanti.

2.       Kumpul maklumat

     Cari sebanyak mungkin maklumat mengenai penyusuan susu ibu. Hal ini penting agar anda faham konsep asas penyusuan iaitu ‘supply vs demand’. Selain menyertai kelas penyusuan, anda boleh dapatkan maklumat melalui pembacaan di majalah, buku, blog dan juga laman web.

3.       Nombor telefon

     Dapatkan nombor telefon kaunselor laktasi yang berhampiran kawasan anda kerana anda mungkin memerlukannya ketika menghadapi sebarang masalah berkaitan penyusuan. Sediakan terlebih awal agar anda tidak kelam-kabut mencari apabila keadaan memerlukan.

4.       Sertai komuniti

     Di Malaysia terdapat banyak kelab mahupun forum yang bermatlamat menyokong penyusuan susu ibu. Anda boleh sertai mereka dalam mendapatkan maklumat mahupun bantuan mengenai penyusuan. Salah satunya ialah group di facebook iaitu Happy Breastfeeding Malaysia. Sertai mereka, dan anda akan dapat mengenali ramai ibu-ibu yang sangat menyokong antara satu sama lain di dalam kumpulan tersebut.

Persediaan fizikal

5.       Pemakanan sihat

     Apabila anda mengamalkan pemakanan sihat semasa hamil, ia membantu pembentukan kelenjar-kelenjar susu di dalam tisu-tisu tubuh. Lalu ia memudahkan penghasilan dan pengaliran susu ibu sebaik melahirkan nanti. Tapi, anda perlu pastikan keperluan kalsium dan protein dalam tubuh mencukupi.

6.       Pilihan hospital

     Pilihlah hospital yang meyokong penyusuan susu ibu dan mesra ibu dan bayi. Bincang dengan doktor anda mengenai rancangan anda untuk menyusukan bayi anda dan anda boleh dapatkan nasihat mengenai penyusuan daripada doktor.

7.       Peralatan penyusuan

     Persediaan peralatan penyusuan sangat penting terutamanya bagi ibu yang berkerja agar proses penyusuan selama dua tahun akan berjalan lancar.
     Antaranya ialah nursing bra, breastpad, pam, cooler bag dan storage bottle.

8.       Kebersihan puting

     Bersihkan puting setiap kali mandi. Gunakan tuala bersih dan air suam untuk membersihkannya. Langkah ini sangat penting terutamanya pada trimester terakhir kerana kolostrum telah mula terhasil. Jika tidak dibersihkan, ia dikhuatiri tersumbat dan menyebabkan susu tidak dapat keluar dengan lancar seterusnya boleh menyebabkan bengkak susu.

9.       Kenali payudara

     Anda perlu mengenali payudara anda sendiri. Ia membeolehkan anda mengetahui sama ada anda mempunyai puting yang normal mahupun puting tenggelam. Ini memudahkan anda untuk bersedia dengan sebarang kemungkinan.

Persediaan emosi

10.   Niat

     Pasang niat dan berazam untuk menyusukan anak yang bakal lahir sejak awal kehamilan lagi. Niat dan azam yang kuat memang sangat penting kerana tanpanya anda mungkin tak kuat untuk menghadapi cabaran-cabran ketika proses penyusuan.

11.   Berdoa

     Sentiasa berdoa dipermudahkan proses penyusuan anak anda.

12.   Sokongan

     Kongsi niat anda untuk menyusukan anak anda dengan suami, ahli keluarga dan rakan-rakan. Nyatakan hasrat anda untuk mendapatkan sokongan daripada mereka terutamanya suami anda. Sokongan bukan sekadar mengiakna sahaja hasrat anda, tetapi lebih daripada itu. Berbincanglah dengan suami sebaik-baiknya.

13.   Yakin

     Sentiasa berfikiran positif yang anda akan berjaya untuk menyusukan anak anda kelak. Yakinlah bahawa anda dapat susukan anak sejurus dia lahir dan yakinlah bahawa susu anda cukup untuk memenuhi keperluannya.



Sumber: Majalah Pa&Ma Ogos 2013

No comments:

Post a Comment